Janji di Giatmara Kangar ( Hafiz dan Firdaus )
Di tepi jalan raya berhadapan Giatmara Kangar, Hafiz dan Firdaus duduk di atas kerusi plastik, menikmati suasana pagi yang sejuk dan segar. Matahari baru mula memancar, dan bunyi kenderaan yang lalu-lalang memberi irama pagi yang biasa mereka dengar. Hafiz, yang baru membeli pulut ayam dari gerai tepi jalan, membuka bungkusan dengan hati-hati sambil tersenyum ke arah Firdaus.
“Bro, aku ingat hang suka bahagian peha, kan?” kata Hafiz sambil menghulurkan pulut ayam itu.
Firdaus tersenyum kecil, “Aku sebenarnya mintak bahagian peha, tapi peha bawah, yang lembut sikit tu. Tadi aku suruh hang pilih bahagian tu, tapi tengok-tengok hang bawak bahagian dada.”
Hafiz terdiam seketika, wajahnya kelihatan bersalah, “Ala, aku silap la pula. Aku ingat semua peha sama. Maaf la, bro. Aku tak perasan betul-betul tadi.”
Firdaus ketawa kecil, “Takpa la, Hafiz. Kita makan ja, rezeki kita pagi ni. Lagipun, hang yang belanja, mana aku nak kompelin.”
Hafiz tersenyum lega, “Lain kali aku belanja lagi. Aku janji kali ni aku pilih betul-betul bahagian yang hang suka.”
Mereka terus makan sambil berbual, menikmati suasana pagi yang tenang. Firdaus kemudian bangun dan pergi membeli air sirap dari gerai berdekatan. Dia kembali dengan dua cawan plastik, “Nah, Hafiz. Air sirap ni, kira aku belanja. Hang belanja ayam, aku balas dengan air.”
Mereka berdua ketawa kecil, berbual tentang masa depan mereka dan impian masing-masing. Hafiz dengan ketawa peliknya, tiba-tiba bertanya, “Hang rasa, kita akan jumpa lagi lepas ni?”
Firdaus tersenyum, memandang Hafiz dengan tenang, “Hang tunggu la. Bila kita dah dapat gelaran Dato’ nanti, aku cari hang. Masa tu, kita buat reunion besar-besaran, dan aku belanja pulut ayam, kali ni dengan bahagian peha yang hang suka.”
Hafiz ketawa besar, tapi dalam hati dia tahu, mungkin pertemuan itu sukar berlaku. Pagi itu, mereka ketawa bersama, menikmati momen terakhir sebelum masing-masing mengejar haluan hidup sendiri.
Kini, Hafiz duduk di kerusi yang sama, memandang jalan raya yang masih sibuk di waktu pagi. Tiada lagi Firdaus di sebelah. Hafiz merenung kosong, teringat janji yang Firdaus pernah buat—janji yang tidak mungkin akan tertunai.
“Dulu, kita kata nak jumpa lagi. Tapi sekarang, cuma tinggal kenangan yang tak mungkin kembali.”
Hafiz menghela nafas panjang, membiarkan cahaya pagi yang sejuk menyentuh wajahnya, sedar bahawa segalanya sudah berlalu, dan dia hanya ada memori yang tak akan pudar.
Comments
Post a Comment